Sabtu, 2 Mei 2009

Siti Safiyah Amirah Abd Rahman - Juara Masters Dunia Wanita 2009



Gambar dari thestar.com

Siapa insan yang bernama Siti Safiyah Amirah ini ? Bagi peminat bowling ia merupakan satu nama yang pernah mencipta kejutan di Malaysia dan kini membuat kejutan di peringkat dunia.

Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, 18 , merupakan antara pemain bowling kebangsaan termuda yang memenangi kejohanan Ranking Masters Dunia ke 9, bagi kategori wanita. Beliau mencipta kejayaan ini di Oltremare Bowling Arena, Naples ,Itali apabila menewaskan Tina Hulsch dari Jerman dengan mata 215-199 dan 175-166 pada pusingan akhir.

Kemenangan 2-0 pada pusingan akhir itu adalah sesuatu yang membanggakan apabila beliau muncul sebagai pemain bowling Malaysia dan Asia tunggal yang mara ke pusingan akhir kalah mati pada kejohanan itu.

Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman sememangnya mempunyai prestasi yang cemerlang apabila beliau pernah muncul sebagai juara bowling MSSM pada usia 14 tahun sewaktu menuntut di SMK USJ 13.

Siti Safiyah Amirah pernah muncul sebagai juara termuda Malaysian Open 2005 bagi kategori wanita. Ketika Sukan SEA di Thailand, beliau menarik diri dari skuad bowling negara kerana menduduki peperiksaan SPM. Beliau muncul semula di arena bowling, apabila menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan Antarabangsa Pesta Pulau Pinang dan All-Stars Junior International.

Pada 2007, beliau telah diserapkan ke skuad elit kebangsaan untuk bergabung dengan Esther Cheah, Shalin Zulkifli, Wendy Chai, Choy Poh Lai, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Sharon Koh.

Pencapaian Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman ini membuktikan bahawa Melayu Boleh mengharumkan nama Malaysia. Kehebatan perjuangan Siti Safiyah Amirah dalam bidang sukan adalah untuk menjulang nama Malaysia.

Tahniah dan syabas Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.