Khamis, 16 April 2009

Dato' Onn Jaafar - Pengasas UMNO





Dato' Onn Jaafar dilahirkan pada 1895 di Bukit Gambir, Johor Bahru. Bapa beliau Dato' Jaafar Haji Muhammad (1838-1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama. sementara ibunya, Hanim Rogayah berasal dari Scarcia, Turkey. Dato Onn dihantar melanjutkan pelajaran ke England oleh Sultan Ibrahim , Sultan Johor ketika itu. Dato' Onn adalah pelajar terbaik dalam Pengajian Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Apabila pulang dari England beliau telah dihantar oleh bapanya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk belajar Bahasa Melayu.

Dato Onn pernah menyandang banyak jawatan dan antaranya, beliau pernah menjadi editor Warta Ahad. Jawatan ini telah menyebabkan beliau mula berjinak-jinak dengan politik dan secara tidak langsung terlibat dalam perjuangan hak bangsa Melayu. Dato' Onn kemudiannya telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, Beliau telah menyumbang dua idea dan jasa yang penting kepada rakyat negeri Johor. Pertama, adalah penubuhan "Sultan Ibrahim Scholarship" dan kedua adalah pemberian tambang penerbangan percuma untuk menunaikan haji bagi kakitangan kerajaan beragama Islam yang berkhidmat untuk Kerjaan Negeri Johor.


Penubuhan Malayan Union oleh British pada tahun 1946, telah membangkitkan kemarahan orang Melayu. Malayan Union telah dilihat sebagai salah satu cara yang diguna oleh British untuk mengambilalih kuasa Sultan dan cubaan menghapuskan hak istimewa bangsa Melayu. Dato Onn kemudiannya telah menubuhkan Kongres Melayu Se Malaya untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union.

Kongress ini telah diadakan pada 1 Mac 1946 hingga 3 Mac 1946. Ia telah dihadiri oleh 41 buah pertubuhan Melayu. Antara persetujuan yang telah dicapai oleh Kongres tersebut ialah memulaukan Malayan Union dan berkabung selama tujuh hari dengan memakai songkok yang mempunyai jalur putih. Dato Onn telah memulakan langkah penyatuan Melayu dengan tertubuhnya UMNO pada 4 Mac 1946 untuk menentang Malayan Union. Beliau telah dilantik menjadi Presiden UMNO dan mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada semua bangsa bagi mengatasi masalah perkauman dalam politik. Cadangan ini telah dibantah oleh ahli UMNO. Dato Onn telah meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO pada tahun 1951.

Selain daripada pengasas UmNO, Dato Onn juga merupakan pencetus idea kepada penubuhan RIDA (Rural Industrial Development Authorit) yuntuk membantu sosio-ekonomi Melayu. Pada 1955 beliau kalah dalam Pilihanraya Umum, namun terus menyumbang jasa sehingga membawa kepada kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya usia 67 tahun, 1962.

Artikel ini memaparkan Pejuang Melayu zaman kemerdekaan. Ini membuktikan Melayu Boleh memperjuangkan hak mereka sendiri.

0 ulasan: